Kamis, 09 Juli 2009

KERANA UMNO !

Sedikit cerita dari Ustaz Nasrudin gambaran mereka yang murabitun di Malaysia.
Dipetik dari Episod Sebuah Perjuangan
Tuesday, January 06, 2009
KERANA UMNO !
SAYA MASUK HOSPITAL
SAYA NAK SAMAN UMNO DI AKHIRAT
Seminggu ini saya terpaksa berulang alik dari Kuantan ke Kuala Terengganu . Siang saya di Kuantan sementara malam saya di Kuala Terengganu .
Sepatutnya saya bertugas sepenuh masa di Kuala Terengganu , tetapi oleh kerana jadual persekolahan anak - anak saya belum tetap dan stabil sehingga Isnin depan maka saya terpaksa menguruskan mereka setiap pagi sementara umminya terpaksa keluar mengajar seawal jam 6.40 am.
Perjalanan selama 3 jam dari Kuala Terengganu sedikit sebanyak membuatkan saya berasa bosan , sepi dan sunyi memandu keseorangan . Tapi apa boleh buat , saya terpaksa menunaikan kedua - dua tanggungjawab tersebut . Antara perjuangan dan keluarga . Semoga Allah swt memberi saya kekuatan yang luar biasa untuk menghadapi cabaran yang berat dan memenatkan ini .
Letih dan Penat
Mengantuk , letih , sakit pinggang , sakit tengkuk dan 1001 macam rasa dalam keadaan sebegini . Sesekali terfikir kenapa aku memilih jalan hidup yang seperti ini sedang orang lain enak tidur di rumah . Sesekali pertanyaan nakal seperti itu menerjah tanpa izin membuatkan sedikit sebanyak diri ini terganggu memikirkannya.
Mana tidaknya , badan letih , makan tidak menentu dan tidur tidak cukup . Masa nak bekerja cari duit untuk bekal masa depan memang tidak ada langsung . Kira makan apa yang ada tapi alhamdulillah sehingga hari ini , makan senantiasa ada . Belumlah kebuluran kerana berjuang walau tidaklah kaya atau mewah seperti orang lain .
Ikut rasa memanglah nak berehat , sungguh letih badan yang kerdil ini . Semalam pun saya hubungi Ustaz Wan Shukairi , dia kata , syeikh ana kena balik tidur segera sebab badan ana dah rasa lain macam . Sejuk panas tidak menentu , bimbang pula esok tidak boleh turun ke majlis penamaan calon . Nampaknya bukanlah saya seorang yang keletihan .
Sebelum saya melanjutkan perjalanan yang jauh ini , saya sempat singgah di sebuah kedai makan dekat kampung Rusila untuk pekena Radix secawan . Kebetulan bertemu dengan Ustaz Azman Syafawi [ Pengarah Jentera Pilihanraya Kecil p.036 Pemuda Pusat ] , Ustaz Arifin [ Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Pusat ] dan Dr. Shamsuri [ Setiausaha Politik Presiden PAS ] yang juga singgah meredakan ketegangan rasa dan kepenatan tubuh sambil pekena nasi goreng kampung .
Mereka juga gagal menyembunyikan rasa letih dan penat yang amat setelah bertungkus lumus melunaskan tanggungjawab dan amanah perjuangan ini . Saya lihat semua tarik muka 40 .
Beberapa jam sebelum tu , berlangsung mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat di Markaz tarbiyah PAS Kuala Ibai . Yb. Ketua Pemuda terlewat sampai kerana mempunyai komitmen lain yang lebih memerlukan perhatian dan kehadhiran beliau maka saya diminta untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut .
Penghujung mesyuarat , Yb. Salahudin sampai dan saya kembali menyerahkan majlis kepada beliau untuk dipengerusikan olehnya . Sewaktu dia membuka bicara , saya nampak sangat dia keletihan . Maklumlah , kata beliau sedari pagi beliau mempunyai komitmen aktiviti yang tidak boleh di elak termasuk menangani isu Gaza dan bertemu beberapa tokoh tertentu untuk mengatur langkah berkesan menangani isu tersebut . Tambah pula mengambil perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dengan kenderaan darat .
Sungguh memenatkan ! begitulah kenyataan tanpa suara yang boleh saya fahami dari Yb. Ketua Pemuda yang sangat saya sayangi . Idola saya dalam perjuangan ini . Melihat kelibatnya ditengah medan , cukup menjadikan saya bermotivasi tinggi untuk terus thabat dalam perjuangan ini .
Rakan EXCO pemuda PAS Pusat pun sama . Dalam senyum mesra merapat ukhuwwah nyata tetap terserlah wajah kepenatan dan keletihan mengurus amanah dan tanggungjawab perjuangan besar lagi suci ini . Ustaz Riduan yang baru balik dari United Kingdom , Sdr Sabki mengendali pengurusan seketeriat Pemuda , sdr Adram pening kepala mencari dana untuk kelangsungan perjuangan , Sdr Kamaruzaman tak kalah seperti Menteri Wilayah Persekutuan menangani warga kota yang begitu rencam wajah kehidupan mereka yang terpisah dari wahyu Allah swt .
Boleh dikatakan nampak benar rasa penat dan letih dari setiap wajah seluruh EXCO Pemuda PAS Pusat . Namun mereka bijak mengatasi rasa agar tidak jelas kelihatan dihadapan umum . Tapi saya percaya mereka penat dan letih .
Memikirkan realiti ini maka yakinlah saya bahawa saya tidak keseorangan walau saat itu saya memandu keseorangan . Sedang saya belum lagi masuk kira seluruh pemimpin PAS terutama Mursyid Am , Presiden , Timbalan Presiden , Naib - naib Presiden dan seluruh AJK PAS Pusat bahkan seluruh pemimpin dan aktivis parti disemua peringkat dan pastinya rasa saya yang paling penat dan letih ialah anggota Briged Unit AMAL yang siap bertugas bila dikerah tanpa peduli bila masanya .
Biasanya saat seperti itu membuatkan saya bertindak menghubungi sahabat - sahabat seperjuangan . Walau sekadar bertanya khabar sudah cukup membuatkan diri ini bermotivasi untuk meneruskan perjuangan yang serba mencabar . Tapi ... waktu dinihari seperti ini siapalah yang nak angkat telefon , nanti saya mengganggu mereka pula , sudahlah mereka kepenatan ...
Tok Guru Nak Saman UMNO
Akhirnya saya mencari vcd - vcd lama untuk dipasang bagi membelah suasana sunyi dan sepi sepanjang jalan yang telah melepasi jam 3 pagi .
Saya memilih vcd ceramah Tok Guru Nik Abdul Aziz al Mursyidul Am PAS . Sungguh menarik kupasan ceramah Tok Guru yang sememangnya dikenali dan diketahui umum kepakaran beliau menyampai ceramah dan mengupas isu yang berlaku .
Pertengahan ucapan Tok Guru , saya bagai terpaku apabila mendengar dengusan Tok Guru yang menegaskan bahawa beliau nak saman UMNO depan Allah di akhirat kelak . Saya tersentak lalu mengulang semula ucapan Tok Guru .
Tok Guru kata : " saya masuk hospital kerana UMNO , saya nak saman UMNO di akhirat kelak . Kerana UMNO melakukan perbuatan mungkar dan sebesar - besar mungkar yang dilakukan oleh UMNO ialah mengasingkan politik dengan agama . Saya terpaksa turun berjuang , keluar rumah berceramah , kuliah dan sebagainya . Nak duduk di rumah berehat tak boleh sebab Allah bagi lidah dan tenaga ni bukan untuk diam melihat sahaja mungkar yang UMNO buat .......
" Terpaksa keluar hingga larut - larut malam , akhirnya jatuh sakit masuk hospital . Ini semua kerana UMNO . Aku nak saman kamu wahai UMNO d depan Allah di akhirat nanti ...."
Begitulah lebih kurang ayat Tok Guru yang saya masih ingat . Tegas juga Tok Guru malam sewaktu menyampaikan ceramah tersebut yang dihadhiri puluhan ribu manusia di dataran Stadium Sultan Muhammad Kelantan .
Maknanya benarlah , Tok Guru juga penat dan letih memimpin perjuangan ini sejak sekian lama cuma beliau sangat gagah dan kuat menelan segala kepahitan dan kepenatan demi Islam .
Cuma apa yang membuatkan saya baru faham hari ini ialah , keletihan dan kepenatan yang dirasai selama ini bahkan kesakitan yang dialami rupa - rupanya berpunca dari UMNO dan BN . Manakan tidak , kalau lah tidak kerana UMNO dan BN menyuburkan bumi ini dengan segala macam maksiat , mungkar , penyelewengan , penindasan dan pengkhianatan kepada rakyat maka tidaklah penat begini kita di medan .
Kalau begitu Tok Guru , saya pun nak failkan saman . Saya percaya semua pemimpin PAS yang dulu dan kini akan turut di belakang Tok Guru menfailkan saman terhadap UMNO dan BN di depan Allah , kerana mereka lah sebahagian besar masa , tenaga dan harta kita habis terkorban . Siap kamu UMNO !
Pun begitu , saya sungguh yakin , belum sempat kita saman Allah swt pasti akan membayar segala ganti rugi kita sebagaimana firman Allah swt :
يا أيها الذين امنوا هل ادلكم على تجارة تنجيكم من عذاب اليم تؤمنون بالله و رسوله و تجاهدون في سبيل الله بأموالكم و أنفسكم ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون . يغفرلكم ذنوبكم و يدخلكم جنات تجرى من تحتها الانهار و مساكن طيبة في جنات عدن ذلك الفوز العظيم
Wahai orang - orang yang beriman , adakah mahu Aku tunjukkan kamu satu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab yang pedih ? Kamu beriman kepada Allah dan RasulNya serta berjihad di Jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu sedang sedemikian itu adalah suatu yang terlebih baik bagi kamu jika sekiranya kamu mengerti . Malah ia Mengampunkan dosa - dosa kamu dan memasukkan kamu kedalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai - sungai serta disediakan tempat tinggal yang indah di dalam syurga A'dnin. Sedemikian itu adalah satu kemenangan yang agong.

Selasa, 23 Juni 2009

ALHAMDULILLAH...back to normal!!!! ALLAHUAKBAR!!!



MEMAAFKAN KESALAHAN sifat mulia. MENGAKU KESALAHAN adalah tidak hina.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ

Kita adalah manusia biasa bukan Nabi.
Kita bukan Nabi, Nabi maksum(terpelihara daripada melakukan maksiat).
Kita tidak sunyi daripada salah dan silap termasuk tuan guru-tuan guru.
Kita manusia ada bermacam-macam kelemahan dan kekurangan.

Maka atas dasar itulah Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun sentiasa memberi peluang untuk hamba-hambaNYA memohon ampun dan maaf.

Oleh itu jugalah agama menganjurkan kita agar MEMAAFKAN KESALAHAN saudara seIslam kita apatah lagi yang bergelar sahabat atau kawan seperjuangan.
Kita tidak hina kerana memaafkan kesalahan sahabat. Begitu juga kita tidak hina kerana mengaku kesalahan yang telah berlaku.
Sifat MEMAAFKAN KESALAHAN orang lain adalah antara sifat yang sangat mulia.

Imam al-Ghazali ada menyebut dalam kitabnya Bimbingan Mukminin bahawa keterlanjuran kawan di dalam agamanya boleh ditegur secara lemah-lembut dengan jalan nasihat. Jika kawan itu terus tidak mengendahkan nasihat, maka menurut pendapat para salaf, hendaklah memutuskan perhubungan dengannya. Setengah yang lain berpendapat boleh diteruskan perhubungan dan rasa kasih sayang dengannya, tetapi harus membenci segala kelakuannya yang buruk itu.

Adapun ketelanjurannya terhadap diri kamu meskipun membosankan, tiada diragukan lagi utamanya dimaafkan dan menanggung dengan penuh daya-upaya segala kesalahannya itu. Malah harus dibalas dengan cara yang baik, ataupun mengharapkan sesuatu keuzuran daripadanya, sama ada dalam waktu yang dekat mahupun jauh.


Allah telah berfirman:
عَسَى اللَّهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً
“Moga-moga Allah akan menukarkan keadaan kamu dengan orang-orang yang kamu bermusuh-musuhan itu dengan kasih sayang.” (al-Mumtahinah: 7)
Sekian, terima kasih.

UKHUWWAH FILLAH.....anda WAJIB berdoa untuk saudara seperjuangan. BACALAH DOA RABITAH

Saturday, June 20, 2009

UKHUWWAH FILLAH.....anda WAJIB berdoa untuk saudara seperjuangan. BACALAH DOA RABITAH

Salam sahabat-sahabat PAS, ABIM, JIM dan para mukmin,

Jadi hati kita, hati mukmin. Hati seorang mukmin adalah tidak pernah memendam dendam kesumat. Hati mukmin menjauhi permusuhan. Kalaupun bermusuh cepat-cepat rujuk-kembali kepada ALlah.

Apa tandanya hati anda adalah hati mukmin?
Tandanya ialah anda sanggup berdoa kepada ALlah untuk kebaikan saudara anda LEBIH-LEBIH LAGI saudara anda yang bermasalah atau bermusuh dengan anda.

Anda doakannya agar dosanya diampunkan oleh ALlah.
Anda doakan dia serta keluarganya selamat dan bahagia.
Anda doakan sahabat anda diberi kekuatan oleh ALlah.
Nah!..........kalau begitu anda telah mampu memadamkan api kemarahan, bara dendam kesumat dan panahan bisikan syaitan dari lubuk/gaung hati anda. Jiwa dan hati anda akan menjadi tenang. Ketika itu, hati anda adalah hati mukmin, tiada lagi dendam.

Sahabat-sahabat! Segera lakukan. Bacalah doa rabitah ........

اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ، وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ، وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ، وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ،
فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا، وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا، وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لَا يَخْبُوْا، وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ، وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ، وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَي الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَي وَنِعْمَ النَّصِيْرِ، اَللَّهُمَّ أَمِيْنَ وَصَلِّ اللَّهُمَّ عَلَي سَيِّدَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَي آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ.
"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini, telah berhimpun di atas dasar kecintaan terhadapmu, bertemu di atas ketaatan kepada-Mu, bersatu bagi memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat persetiaan untuk menolong meninggikan syariat-Mu.
Oleh itu, Ya Allah, Engkau perkukuhkan ikatannya dan Engkau kekalkan kemesraan hati-hati ini, tunjukilah hati-hati ini akan jalan yang sebenar, serta penuhkanlah (piala) hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati dengan limpahan keimanan serta keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat (pengenalan yang sebenarnya) tentang-Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah doa kami".
Sekian, terima kasih.

Kamis, 21 Mei 2009

Larangan al-Quran cegah 'selsema babi

Azamin Amin
Fri | May 22, 09 | 10:05:35 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Setiap larangan Allah SWT terhadap sesuatu perkara, pasti tersimpan hikmah yang tersendiri dan mempunyai sebab yang kuat demi melindungi manusia daripada sesuatu bahaya dan bencana.

Pengharaman memakan daging babi di dalam surah al-Baqarah ayat 172, mempunyai kaitan rapat dengan jangkitan 'selsema babi' yang melanda dunia yang kini begitu mengancam nyawa manusia dan bukan pertama kali malah telah berlaku dalam sejarah yang sewajarnya di ambil iktibar atas setiap yang di perintah dan dilarang oleh Allah SWT selama ini kepada manusia.

Kata Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah bahawa Allah SWT melarang memakan babi itu kerana tuhan lebih arif tentang wabak dan penyakit yang ada pada babi yang dicipta-NYa termasuk kemampuan manusia untuk menerima sesuatu makanan yang layak untuk tubuh badannya.

"Dia yang ciptakan manusia dan babi, dia jugalah yang tahu segala baik buruknya sesuatu. Oleh itu kita perlu taat, kerana setiap larangan Allah pasti bersebab yang kuat,

"Bahkan dalam al-Quran menyebut dalam permulaan surah Baqarah, ayat 172 itu dengan kalimah 'wahai manusia' bermaksud ayat ini tidak semata-mata dituju kepada orang Islam sahaja tetapi semua manusia termasuk orang bukan Islam yang jika mengikuti larangan ini, akan dapat juga mencegah daripada terkena wabak ini," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliahnya dalam rancangan Halaqah terbitan TV9 malam semalam yang bertajuk "Selsema Babi" bersama ahli perubatan, pendakwah dan penulis buku Dr Danial Zainal Abidin yang dipengerusikan oleh Ustaz Ahmad Shukri bin Yusof.

Dalam pada itu, Dr Danial menjelaskan hasil kajian bahawa babi berupaya menerima aneka jenis virus di dalam tubuh badannya sekalgus boleh menukarkan virus menjadi lebih merbahaya sehingga boleh membunuh manusia.

"Babi boleh memakan apa saja dan menerima semua jenis virus. Kemudia menukarkan virus yang ada padanya kepada virus yang lebih merbahaya seperti selsema babi. Babi boleh menyebabkan manusia mendapat lenih 25 jenis penyakit," katanya.

Malah kata Dr Danial 'swine flu' atau selsema babi ini pernah melanda dunia pada tahun 1918 yang turut dikenali sebagai "Spanish Flu".

"Dalam journal yang saya baca, ada yang mengatakan telah membunuh 20 juta manusia dan ada yang kata 40 juta manusia. Dan wabak yang melanda dunia hari ini sama dengan Spanish Flu pada tahun 1918," katanya

Beliau turut mengemukakan hasil kajian barat, bahawa terdapat nasihat daripada pakar melarang memakan babi kerana membawa virus dan penyakit.

Babi katanya walaupun dimasak berkali-kali, terdapat sejenis kuman yang tidak mati yang 'duduk' di dalam genetik babi yang boleh membawa bahaya.

"Dalam Dinasti Ting, ada seorang tabib terkenal juga melarang orang Cina memakan babi. Ini kitab kuno orang Cina sudah ada larang tersebut dan memberitahu tentang bahayanya," kata Dr Danial lagi.

Dalam kesimpulan diskusi rancangan agama itu, Farid Ravi menjelaskan bahawa doa adalah merupakan senjata paling ampuh untuk mengelak manusia daripada terkena jangkitan ini kerana ianya merbak secara luas dan tanpa sempadan.

"Manusia tidak boleh halang dan sekat udara yang bertebaran. Itu kuasa Allah. Penyakit yang ada di Mexico beribu-ribu batu sudah sampi ke negara jiran Thailand. Begitu cepat ia merebak.

"Kita mestilah berdoa banyak kerana itu antara senjata kita kerana kita tak mampu kawal semua. Manusia yang ada di sekeliling kita mahupun udara yang ada. Semua dengan izin Allah semata-mata," katanya.

Sementara itu Dr Danial pula memberi berapa panduan untuk mengelak berlakunya jangkitan tersebut antaranya seperti yang dianjurkan oleh agama iaitu sentiasa membasuh tangan.

"WHO mengeluarkan panduan, supaya sentiasa membasuh tangan. Bagi kita ini bukan sesuatu yang baru, malah kita sentiasa berwuduk untuk solat dan mambasuh tangan sebelum makan,"katanya yang turut menyarankan agar mengikuti saranan Nabi Muhammad s.a.w sewaktu bersin.

Ketika bersin, Nabi menutup tangan dan adakalanya menggunakan kain dan ini seperti yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini.

"Sebenarnya setiap perkara yang melanda, di satu segi ianya merupakan bahaya tetapi ianya juga peluang kita untuk berdakwah, menceritakan kuasa Allah dan kebenaran al-Quran.

"Ekonomi global jatuh, ketika itu baru dunia sedar ekonomi berasaskan Islam, sangat cantik dan baik maka begitu jugalah dengan kes wabak ini, yang membuatkan dunia akan mengkaji larangan Allah SWT dalam al-Quran," katanya. - azm _

Kamis, 14 Mei 2009

PENGALAMAN 6 JAM DI PEJABAT MB

13 Mei 2009


YAB Dato'Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sempat duduk dimejanya yang kosong dengan dokumen sambil menulis satu memo. Inilah tempat MB halal yang kembali dirampas oleh MB haram.

Enam jam berada di Pejabat MB semalam sangat-sangat dirasai kehadiran kami oleh beberapa pegawai dan staf pejabat di bangunan SUK yang sempat ditemui, lebih-lebih lagi staf di pejabat MB. Kerinduan kepada MB, EXCO dan pegawai-pegawai MB jelas terbayang.

Pegawai-pegawai MB yang lain, Hj Anuar Hashim (Setiausaha Akhbar), Amran Harun, K.Y. Tiang, Ust. Zulkifli Ibrahim dan Nadarajan hadir sama di pejabat. Hj Wan Junaidi (Bekas Setiausaha Sulit Dato' Seri) juga turut hadir. Jelas terbayang keceriaan mereka.

Setelah berada kira-kira 15 minit di pejabat MB, Dato' Seri terpaksa meninggalkan majlis untuk ke Istana Iskandariyyah bagi menghadiri Majlis Anugerah Pingat dan Bintang bersama Tuanku Raja Muda Perak.

Sepeninggalan beliau, semua EXCO dan pegawai-pegawai MB berada di pejabat MB. pejabat EXCO masih berkunci tak boleh dikunjungi. Beberapa pegawai kanan kerajaan turut berada di pejabat MB, antaranya En. Shamsuzaman Sulaiamn (Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, En. Asri Saad (Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sumber Manusia), En. Abdullah Antong (yang digantung sebagai Setiausaha DUN oleh Speaker) juga hadir sama.

Tidak ada kerja-kerja pentadbiran yang kami buat, kami sekadar melihat-lihat dan bertanya khabar. Ramai juga yang datang mengucapkan tahniah, mereka terharu sehingga ada yang menitis air mata menyambut ketibaan kami. Mereka sangat merindui Dato' Seri untuk mengimami Solat Zohor berjamaah dan tazkirah. Saya juga diberitahu, kehadiran solat berjamaah di surau SUK sangat berkurangan berbanding dulu.

Saya juga sempat berbual dengan beberapa orang, mereka bercerita ketika berita di TV3 mengumumkan kemenangan Hj Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ramai pelanggan yang sedang makan tengahari sambil menonton berita di kantin pejabat bersorak menyambut gembira.

Saya sempat berbincang dengan beberapa pegawai dari pejabat SUK untuk melaksanakan beberapa arahan dari YAB MB. Jelas mereka tidak keberatan melaksanakannya malahan memberi kerjasama yang cukup baik.

Menjelang Zohor, kami mendapat mesej dan maklumat dari Kuala Lumpur oleh peguam Hj Nizar bahawa permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi diterima oleh Mahkamah Rayuan. Mendengar keputusan tersebut, pejabat MB menjadi sunyi dan hening buat seketika. Ketika itulah Dato' Seri tiba dari Istana.

Kami Solat Zohor berjamaah di surau dengan diimami oleh Dato' Seri Hj Nizar. Selepas solat, kami kembali ke pejabat untuk berbincang mengenai keputusan Mahkamah Rayuan tadi. Setelah berbincang, semuanya sepakat bersetuju untuk keluar pejabat sebagai menghormati keputusan Mahkamah Rayuan.

Lebih kurang jam 2.30 petang, MB, EXCO dan seluruh pegawai-pegawainya meninggalkan pejabat dengan penuh hormat dan tenang. Kami bersalam-salaman semula dengan staf dan pegawai keselamatan. Polis masih ramai di sekitar Banguanan SUK. Kami mimum petang di Kedai Kopi berhampiran pejabat SUK, MB dikerumuni oleh para wartawan dan sidang akhbar terus diadakan di pejabat DAP yang berada di atas kedai kopi tersebut.

Selasa, 27 Januari 2009

Apa yang Obama ada, YB Pakatan dan BN pun ada!


Sumber: Kerajaan Rakyat

Saya amat tertarik dan mengikuti dengan dekat perkembangan politik Amerika terutama sepanjang tempoh kempen pemilihan presidennya yang berakhir dengan kemenangan Barrack Obama. Malahan anak saya yang berada di sana turut membantu memberikan laporan kempen presiden sebagai menambahkan sumber rujukan saya.

Di Malaysia, saya sendiri melihat dan berada di dalamnya. Antara yang membezakan kaedah berkempen dan berkomunikasi di State (US) dan Malaysia adalah mereka menggunakan kemudahan komunikasi secara maksima, manakala politikus Malaysia mengabaikannya.

Obama, bukan manusia yang ‘terlalu’ hebat tetapi beliau mempunyai rantaian dan rangkaian sahabat yang hebat serta beliau cekap menggunakan segala peluang dan kemudahan yang ada.

Saya tidak berminat untuk menyentuh wakil rakyat UMNO/BN. Mereka hendak terlentang, terlingkup, tertiarap atau menonggeng, sukahati dia orang. Bagi saya, mereka adalah spesis yang hampir pupus.

Saya rasa berhak dan bertanggungjawab untuk menegur wakil rakyat dan wakil parlimen dari kalangan Pakatan Rakyat kerana seperti ramai pembaca Kerajaan Rakyat, saya sendiri adalah antara yang memberikan undi kepada mereka. Jika mereka lalai dan buat silap, saya kira wajib bagi saya dan semua yang memberikan undi kepada mereka menegurnya.

Tinggal lagi satu bulan akan genapnya setahun berlalunya PRU-12 yang telah mentsunamikan UMNO/BN dalam arena politik Malaysia. Jika dikira dari sudut maruah, UMNO/BN telahpun kalah diperingkat nasional. Pakatan Rakyat telah menang. Tetapi, bayangan kecundangan Pakatan Rakyat dalam PRU-13 nanti tidak boleh dipandang sepi.

Kelemahan dan sifat ‘malas’ menimba ilmu dikalangan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat, Parti KeADILan khususnya amat memualkan. Terdapat beberapa lembaga dalam Pakatan Rakyat yang bergelar YB tidak peka terhadap kepentingan ‘komunikasi maklumat’ memang tidak dapat disembunyikan lagi.

Beberapa hari lalu saya telah mengingatkan kepada pegawai khas Datuk Seri Anwar agar tindakan susulan yang drastik perlu diambil untuk memastikan para wakil rakyat KeADILan berinteraksi secara aktif dengan rakyat samada melalui blog, email atau sms.

Daripada penelitian dan pengamatan saya, terdapat beberapa EXCO, ADUN dan wakil parlimen di Selangor yang tidak mengindahkan email yang dihantar oleh rakyat kepada mereka. Lebih mendukacitakan terdapat beberapa YB yang langsung tidak membuka atau membaca email-email tersebut.

Barrack Obama mengakui bahawa beliau telah menggunakan segala kemudahan IT semasa kempennya dan bertegas untuk terus menggunakan ‘BlackBerry’nya sebagai salah satu daripada kaedah beliau berhubungan dan mengetahui dunia luar dengan cepat dan pantas. Barrack Obama adalah presiden Amerika Syarikat!

‘Without his virtual connection to old friends and trusted confidants beyond the bubble that seals off every president from the people who elected him, he’d be like a caged lion padding restlessly around the West Wing, wondering what’s happening on the other side of the iron bars that surround the People’s House.’

‘The president’s ability to reach outside his inner circle gives him access to fresh ideas and constructive critics,’ Mr Podesta said. ‘As president, it is more important than ever that he remain connected.’ — AFP

Saudara Anwar Ibrahim telah menerima lebih daripada 1,000 sms dan email pada hari pengundian semasa PRK Kuala Terengganu dan beliau telah membalas sebahagian besar daripadanya. Malahan dalam keadaan dan pada hari biasa, Anwar Ibrahim akan membaca kesemua email yang dikirimkan kepada beliau sebelum tidurnya atau sebelum waktu solat subuh dan beliau memberi respond kepada semuanya. Anwar Ibrahim adalah ketua umum parti KeADILan! Malangnya, ramai wakil rakyat yang berada dikelilingnya telah gagal mengikut caranya.

Jelas kaedah yang digunakan oleh Barrack Obama dan Anwar Ibrahim untuk berhubungan dengan pengundi dan rakyatnya juga dipunyai oleh para wakil rakyat KeADILan tetapi mereka samada culas, malas atau tidak tahu menggunakannya. Nampaknya, lebih cerdik anak jiran saya, baru berusia 6 tahun tetapi tahu bersms, beremail dan berfriendster.

Datuk Seri, saya kira saudara kena bertegas dalam hal ini. Pastikan wakil rakyat KeADILan dan Pakatan Rakyat mengekplotasikan segala kemudahan perhubungan yang tersedia agar mereka lebih peka dan tidak tersisih dan dipinggirkan oleh rakyat kelak.

Minggu, 25 Januari 2009

Melayu Kehilangan Tanah Keranamu Umno



Posted on Sunday, January 25 @ 12:04:38 MYT by zabidi
Oleh YB Dato' Hj Mahfuz Omar

TIDAK seperti di Permatang Pauh yang kecoh dengan isu liwat, suasana di Kuala Terenggan u lebih ‘geger’ dengan isu hudud dan pemberian hak milik tanah kepada orang bukan Melayu oleh Kerajaan Perak. Kenyataan Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa bahawa melaksanakan hudud adalah agenda perjuangan PAS dibesar-besar oleh media untuk menakutkan pengundi bukan Islam di bandar raya warisan pesisir air itu.

Di kalangan pengundi Melayu pula, mereka digemparkan dengan tindakan kerajaan Perak yang dipimpin oleh PAS memberikan hak milik tanah kepada orang-orang Cina yang dianggap merugikan orang Melayu.

Saya tidak nampak apa relevannya isu-isu perkauman seperti ini terus dibangkitkan sedangkan dalam masa yang sama kita bercakap tentang kontrak sosial yang mana kita mengiktiraf bangsa-bangsa bukan Melayu sebagai warga negara. Kelas keduakah status kewarganegaraan orang Cina dan India? Atau kerana mereka bukan ahli BN, maka tidak layak bagi mereka? Memang menjadi senjata politik Umno semenjak zaman pra merdeka lagi untuk menajamkan isu-isu perkauman supaya Umno terus relevan. Mereka membangkitkan isu-isu kepentingan Melayu dan mengangkat keris apabila berhadapan dengan pengundi Melayu, kemudian membesarkan isu-isu agama apabila menemui pengundi bukan Melayu. Inilah kejahatan politik Umno yang sudah ditolak oleh rakyat!

Umno mungkin berterima kasih kepada Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak apabila baginda membangkitkan isu kampung baru ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga baru-baru ini. Memang satu realiti bahawa Raja-raja Melayu tidak senang dengan Racangan Briggs yang membuka kampung-kampung baru untuk menempatkan orang-orang Cina yang tinggal di pinggir hutan. Tujuannya untuk mengelakkan orang Cina dipengaruhi komunis, tetapi Raja-raja Melayu melihatnya dari aspek hak tanah orang Melayu yang terjejas kerana dasar ini dilaksanakan oleh Hendry Gurney, Setiausaha Negara British di Palestin. Raja-raja Melayu takut negara ini menjadi seperti Palestin jika bangsa asing diberikan hak ke atas tanah.

Isu ini bukan hanya isu Raja-raja Melayu, tetapi isu parti-parti Melayu ketika itu juga. Malangnya, ketika orang-orang Melayu mempertahankan hak ketuanan Melayu di negara ini sebelum merdeka dahulu, siapakah yang mendesak hak sama rata diberikan kepada orang bukan Melayu? Bukankah Umno dahulu bermati-matian mahu orang bukan Melayu diterima kerakyatan mereka secara jus soli? Dato’ Onn Jaafar pernah meletakkan jawatan dalam Umno apabila ada ahli Umno menolak dasar jus soli ini dan akhirnya beliau keluar Umno apabila cadangannya untuk membuka keahlian Umno kepada orang bukan Melayu ditolak. Kemudian, dalam National Convention yang dipimpin oleh Umno pada 1954, cadangan PAS tentang kerakyatan dan hak mengundi untuk orang bukan Melayu telah ditolak kerana Umno mahu orang-orang bukan Melayu diterima sebagai rakyat negara ini.

Suasana politik pada masa itu dalam semangat kebangsaan telah membentuk kesedaran orang Melayu ke atas hak ketuanan mereka. Parti-parti kiri berjuang terus supaya hak ini dibela, tetapi dinodai oleh Umno. Raja-raja Melayu sendiri tidak berpuas hati dengan pendekatan Umno ketika itu sehingga Umno bermasalah dengan beberapa istana. Tetapi segalanya telah selesai apabila kita menerima orang bukan Melayu sebagai rakyat negara ini secara sah melalui Perlembagaan 1957. Ini adalah kontrak sosial yang memberikan kedudukan sama taraf antara orang Melayu dan bukan Melayu, walaupun dalam hal tertentu orang Melayu diberikan hak keistimewaan. Inilah realiti yang mesti dan terpaksa kita terima hari ini. Kerana Umno telah menyerahkan hak ini, maka kita perlu melayani rakyat bukan Melayu sewajarnya.

Memang senang untuk kita mempersoalkan tentang kewajaran kerajaan Perak memberikan hak milik 999 tahun kepada penduduk Kampung Baru di Perak yang tidak berbangsa Melayu. Soalnya, mereka adalah rakyat negara ini dan mereka berhak. Ia bukan tanah baru yang dibuka untuk mereka, tetapi tanah yang didiami berpuluhan tahun, mungkin semenjak Rancangan Briggs lagi. Apakah kerana mereka berbangsa Cina, maka kita merasakan orang Melayu terancam. Mengapa Umno tidak berfikiran demikian 50 tahun dahulu ketika semua orang Melayu berfikir begitu. 50 tahun dahulu Umno merasakan orang Cina dan India perlu diberikan hak kerana mereka adalah penyokong Perikatan. Tetapi ketika semua orang Melayu sudah terbuka menerima hakikat negara ini adalah Malaysia, mengapa Umno begitu kolot untuk terus mengapikan isu perkauman yang sempit? Kerana Cina bersama Pakatan Rakyat mungkin!

Jika Umno mahu mempolitikkan apa yang dititahkan oleh Raja Muda Perak itu, mereka harus mencermin diri dahulu. Sedar atau tidak kita bahawa hak ketuanan Melayu ke atas tanah telah dijamin melalui Tanah Rezab Melayu. Saya ingin bertanya kepada kerajaan BN berapakah luas tanah rezab itu sekarang berbanding 50 dahulu? Mengapakah tanah-tanah-tanah milik melayu di Pulau Pinang sudah hampir pupus? Kerana DAP-kah? Atau kerana pengkhianatan Umno. Tanah rezab di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain masih banyakkah? Bukankah telah adalah peraturan supaya setiap tanah rezab yang diambil alih harus diganti tetapi mengapa ia telah berkurangan? Lupakah Umno bahawa 139,409 hektar tanah rezab melayu di negeri-negeri tersebut telah dibatalkan oleh kerajaan BN dahulu dan hanya 77,208 hektar sahaja yang diganti semula. Masih terdapat baki 62,201 hektar yang perlu diganti oleh kerajaan BN dan ini menunjukkan kerajaan BN gagal untuk mempertahankan tanah rezab melayu sebagai benteng akhir kekuatan politik melayu. Sekarang ini pun, Umno sedang berusaha untuk menghalau orang-orang Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur supaya mereka dapat menjadikannya Bukit Bintang kedua. Upayakah orang-orang Melayu menguasai pusat-pusat perdagangan jika ia diwujudkan di kampung baru?

Dulu kita pernah digemparkan oleh tindakan salah seorang calon Timbalan Presiden Umno yang dikatakan menggadai tanah-tanah orang Melayu kepada bangsa asing termasuk bukan rakyat negara ini di Johor. Kalau tanah di Johor boleh sahaja dijual kepada warga Singapura dan Hong Kong, mengapa tanah di Ipoh tidak boleh diberi hak milik kepada warga sendiri? Adakah orang-orang Cina di kampung-kampung baru di Perak tidak memberikan ’habuan’ kepada pemimpin Umno untuk hak milik tanah itu, maka mereka tidak berpuas hati. Inilah realiti negara kita bahawa iu-isu hak dan ketuanan ini sengaja dibangkitkan untuk kepentingan politik dan mengisi poket sahaja, bukannya untuk kepentingan bangsa dan negara.

Saya menjunjung kasih kepada Raja Muda Perak di atas titahnya yang mengingatkan kita satu hakikat sejarah, tetapi ia tidak bolh dilihat sebagai sindiran kepada kerajaan Perak yang diketuai PAS. Tetapi ia harus direnung sebagai iktibar terhadap kegelojohan dan kerakusan pemimpin Umno dalam menggadai kepentingan orang Melayu di negara ini. Jangankan tanah, bahasa, pendidikan, politik, sosial dan ekonomi orang Melayu semuanya sudah hampir tergadai angkara Umno. Umno harus memberhentikan kegelojohan mereka sekarang dan rakyat perlu bertindak untuk menamatkan riwayat politik Umno!

YB Dato’ Hj Mahfuz Omar

Ahli Parlimen Pokok Sena

Merangkap Ketua Penerangan PAS Pusat.